Kata Aluan

Saturday, August 4, 2012

Adab – Adab Berpuasa


Puasa merupakan salah satu ibadat yang telah diperintahkan oleh Allah kepada umat Islam seluruhnya pada bulan Ramadhan. Ia merupakan salah satu daripada rukun Islam yang lima. Puasa mempunyai pelbagai keistimewaan yang telah dijanjikan oleh Allah. Berpuasa dapat mengukuhkan jiwa seseorang supaya berpegang teguh kepada Allah. Lahirnya insan yang benar-benar bertaqwa kepada Allah dengan ibadat puasa sebagaiman firman Allah yang berbunyi

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا كُتِبَ عَلَيْكُمُ الصِّيَامُ كَمَا كُتِبَ عَلَى الَّذِينَ مِنْ قَبْلِكُمْ لَعَلَّكُمْ تَتَّقُونَ (١٨٣)

Wahai orang-orang Yang beriman! kamu Diwajibkan berpuasa sebagaimana Diwajibkan atas orang-orang Yang dahulu daripada kamu, supaya kamu bertaqwa. (Al-Baqarah : 183)
 Puasa merupakan ibadat yang dapat menghampirkan manusia dengan penciptanya. Allah akan memberikan ganjaran yang banyak bagi mereka yang menunaikan puasa dengan sebaik-baiknya. Berpuasa dapat menjauhkan jiwa daripada gangguan syaitan dan dapat menyelamatkan diri daripada melakukan segala larangan Allah. Begitu juga, puasa dapat melatih manusia supaya bersabar, merasakan kelaparan yang menjadi kebiasaan  golongan fakir, melembutkan jiwa dan dapat menghapuskan dosa-dosa  yang telah dilakukan sebelumnya.
Puasa mempunyai beberapa adab yang perlu diikuti supaya dapat mencegah daripada tidak mendapat sebarang ganjaran yang telah dijanjikan. Antara adab- adab puasa adalah seperti berikut :
 1. Niat yang betul.
Niat yang benar-benar ikhlas kerana Allah ialah pengukur kepada ibadat seseorang. Dengan niat yang ikhlas, seseorang itu akan diganjari dengan ganjaran yang setimpalsebagaimana yang dilakukannya. Oleh yang demikian, puasa menuntut seseorang supaya mengikhlaskan niat hanya kepada Allah.Niat berpuasa wajib dilakukan sebelum daripada tamat waktu bersahur (sebelum terbit waktu fajar ).

 2. Bersahur.

Bersahur adalah satu amalan yang telah dilakukan Baginda s.a.w. Bersahur dapat memberikan faedah yang begitu besar kepada manusia. Oleh yang demikian, Nabi menggalakkan umatnya bersahur walaupun dengan meminum segelas air.

عن أنس رضى الله عنه قال: أن رسول الله صلى الله عليه وسلم : تسحروا فإن السحور بركة

Maksudnya : Daripada Anas berkata , sesungguhnya Rasulullah s.a.w. bersabda :  ” Bersahurlah kamu, sesungguhnya (dengan) bersahur (akan mendapat) keberkatan”. (Riwayat Bukhari dan Muslim)
Seharusnya bagi semua umat Islam mengikut apa yang telah dilakukan oleh Baginda. Nabi s.a.w. bersahur untuk persediaan berpuasa walaupun dengan seteguk air atau dengan sebiji buah tamar.

 3. Melewatkan bersahur.

Nabi Muhammad s.a.w. menggalakkan umatnya supaya melewatkan bersahur kerana perkara demikian dapat memberikan kekuatan kepada orang yang berpuasa dan dapat memperoleh keberkatan yang banyak.

عن أنس رضى الله عنه قال: أن رسول الله صلى الله عليه وسلم : بكروا بلافطار، وأخروا السحور

Maksudnya : Daripada Anas berkata , Rasulullah s.a.w telah bersabda : ” Hendaklah kamu awalkanlah berbuka dan hendaklah kamu perlewatkan bersahur”.

 4. Tidak membazir ketika bersahur dan berbuka.

Tidak berlebihan ketika bersahur dan berbuka kerana perkara demikian dapat memudharatkan seseorang, melemahkan daripada melakukan ibadat dan boleh membawa kepada mengantuk.

 5. Mengawal anggota ketika berpuasa

Mengawal anggota ketika berpuasa daripada melakukan maksiat kepada Allah. Lebih-lebih lagi menjaga mata daripada memandang perkara maksiat yang telah diharamkan oleh Allah.
 Menjaga anggota dari melakukan perkara yang dapat mengurangkan pahala puasa sebagaimana berikut :
  1. Menjaga mata daripada perkara haram.
  2. Menjaga lidah daripada percakapan yang sia-sia dan membiasakannya dengan berzikir, membaca Al- Quran dan sebagainya.
  3. Menjaga pendengaran daripada perkara yang memudaratkan.
  4. Menahan tangan dan kaki daripada perkara yang syubhah dan melalaikan.
  5. Tidak makan terlalu banyak.
  6. Sentiasa muraqabah dengan Allah walau di mana berada.

 6. Memperbanyakkan amalan kebaikan.

Disunatkan memperbanyakkan amalan-amalan yang baik ketika berpuasa. Demikian supaya waktu seharian digunakan untuk berzikir kepada Allah, berdoa, memohon ampun kepada Allah, membaca Al -Quran, memperbanyakkan sedekah, menyediakan makanan untuk orang berbuka puasa bagi mendapat pahala yang begitu banyak, mengukuhkan amalan silaturrahim dan segala amalan-amalan yang baik.

 7. Menyegerakan berbuka.

Amalan ini merupakan sunnah Rasulullah yang telah memerintahkan semua umatnya supaya menyegerakan berbuka sebagaimana sabdanya yang berbunyi :

عن أنس رضى الله عنه قال: أن رسول الله صلى الله عليه وسلم : بكروا بلافطار، وأخروا السحور

Maksudnya : Daripada Anas berkata , Rasulullah s.a.w telah bersabda : ” Hendaklah kamu awalkanlah berbuka dan hendaklah kamu perlewatkan bersahur”.
Dengan menyegerakan berbuka dapat memberikan kegembiraan kepada orang yang berpuasa dan meringankan tubuh badan daripada keletihan. Oleh yang demikian,  Rasulullah menyegerakan berbuka sebelum daripada solat Maghrib.

 8. Berdoa ketika berbuka.

Berdoa ketika berbuka sebagaimana yang telah dilakukan oleh Rasulullah sebagaiman sabdanya yang berbunyi :

عن عبد الله بن عمر رضى الله عنهما أن النبى صلى الله عليه وسلم قال : ان للصائم عند فطر دعوة ما ترد

Maksudnya: Daripada Abdullah in Umar sesungguhnya Rasulullah s.a.w. bersabda : ” Sesungguhnya bagi orang yang berpuasa ketika berbuka puasa ada doa yang tidak ditolak”. (Riwayat Ibnu Majah)

 9. Menjauhi perkara yang merosakkan puasa.

Menjauhkan diri daripada melakukan perkara yang dapat merosakkan puasa seperti tidak berlebihan ketika berkumur dan memasukkan air ke dalam hidung ketika berwudhuk kerana dikhuatiri air masuk ke dalam rongga sekali gus dapat merosakkan puasa.
Demikian juga menjauhi semua perkara yang dapat merosakkan puasa.

 10. Berusaha mendapatkan ‘ Lailatul Qadar ‘.

Berusaha sedaya upaya untuk mendapatkan malam Lailatul Qadar kerana malam tersebut mempunyai kelebihan yang begitu besar sebagaiman firman Allah yang berbunyi 

إِنَّا أَنْزَلْنَاهُ فِي لَيْلَةِ الْقَدْرِ (١)وَمَا أَدْرَاكَ مَا لَيْلَةُ الْقَدْرِ (٢)لَيْلَةُ الْقَدْرِ خَيْرٌ مِنْ أَلْفِ شَهْرٍ (٣)تَنَزَّلُ الْمَلائِكَةُ وَالرُّوحُ فِيهَا بِإِذْنِ رَبِّهِمْ مِنْ كُلِّ أَمْرٍ (٤)سَلامٌ هِيَ حَتَّى مَطْلَعِ الْفَجْرِ (٥)

Maksudnya :
  1.  Sesungguhnya Kami telah menurunkan (Al-Quran) ini pada malam Lailatul-Qadar,
  2.  dan apa jalannya Engkau dapat mengetahui apa Dia kebesaran malam Lailatul-Qadar itu?
  3.  malam Lailatul-Qadar lebih baik daripada seribu bulan.
  4.  pada malam itu, turun malaikat dan Jibril Dengan izin Tuhan mereka, kerana membawa Segala perkara (yang ditakdirkan berlakunya pada tahun Yang berikut);
  5.  sejahteralah malam (yang berkat) itu hingga terbit fajar!

 11. Bertaqwa kepada Allah.

Bertaqwa merupakan adab yang paling terpenting dalam puasa. Bagi seseorang yang berpuasa hendaklah sentiasa berada dalam keadaan bertaqwa kepada Allah dalam segala tindakannya sama ada perkataan atau perbuatan. Demikianlah tujuan ibadat puasa. Perkara ini dapat mendekatkan seseorang dengan penciptanya. Bagi mereka yang mampu sepanjang puasanya sentiasa berada dalam keadaan bertaqwa kepada Allah, maka ia telah mendapat faedah daripada puasa tersebut.
Imam Ghazali berkata dalam kitabnya :
Adab-adab berpuasa ialah memilih makanan yang baik (halal), meninggalkan bermujahadah (bertengkar perkara sia-sia), menjauhi daripada mengumpat. menjauhi kesalahan, hindari daripada takabbur, sentiasa dalam keadaan tenang, menjauhi daripada berdusta, menjauhi daripada menyakiti orang lain, dan menjaga segala anggota daripada melakukan perkara-perkara keji.

No comments:

Post a Comment